Assalamualaikum wbt,
Selamat bertemu kembali. Diharap kalian dapat memanfaatkan cuti Tahun Baru Cina dan cuti sekolah sebaik-baiknya.
Telah sekian lama sejak saya menulis dalam blog PASMKJ2. Sudah tentunya saya mempunyai berbagai sebab dan alasan untuk berbuat demikian tapi biarlah alasan itu tinggal sebagai alasan. Lagipun ianya tidak lansung relevan dan tidak mengubah kenyataan yang saya sudah menyepi sekian lama.
Perjumpaan antara saya, mG dan Man Kucai bersaksikan beberapa sahabat Man Kucai yang lain pada malam Ahad (22/1/2012, berakhir ~ 2:00 pagi) yang lalu di depan Stadium Bandar Jengka, memanggil untuk saya menulis. Agak berat untuk saya menulis kerana sudah lama tidak berbuat demikian, tapi atas permintaan mG dan untuk kebaikan bersama, saya teruskan juga. Sebelum itu, kepada guru-guru BM di luar sana, saya memohon maaf di atas gaya bahasa yang bersepah, ditambah dengan kosa kata yang amat cetek. Walau apa pun saya harap mesej yang saya hendak diutarakan dapat diterima sama seperti apa yang saya maksudkan.
Sudah hampir setahun AGM yang diadakan di kantin SMKJ2 berlalu. Begitu cepat sekali masa berlalu, walaupun majlis itu masih segar dalam ingatan saya. Mungkin persoalan adakah Persatuan mencapai matlamat penubuhannya bermain dalam fikiran kita. Jawapannya adalah bergantung kepada dari sudut mana ianya diperhatikan dan dianalisa. Saya sedar semua orang menyertai persatuan ini mempunyai agenda dan tujuan yang tersendiri, termasuklah diri saya sendiri dan agenda inilah yang menjadi kayu pengukur (KPI) untuk menentukan kejayaan atau kegagalan persatuan ini.
Antara pencapaian persatuan ini semenjak ianya ditubuhkan adalah:
1. Mendaftarkan diri sebagai persatuan yang sah,
2. Berjaya mengadakan beberapa perjumpaan Hari Raya atau Hari Keluarga,
3. Mempunyai pengikut facebook lebih 1000 orang,
4. Mengadakan beberapa “mini gathering” untuk mengeratkan persaudaraan,
5. Menjalinkan semula persahabatan yang sekian lama terpisah,
6. Membantu sahabat yang mempunyai masalah yang berkaitan dengan sosial dan ekonomi.
Saya percaya banyak lagi pencapaian yang telah direalisasikan oleh beberapa kumpulan kecil yang aktif, tapi persoalannya sejauh manakah pencapaian di atas memberi manfaat kepada semua ahli yang berdaftar atau tidak berdaftar bergantung kepada agenda dan tujuan yang saya nyatakan tadi. Kepada yang terlibat secara lansung dengan salah satu atau sebahagian besar dengan pencapaian tersebut, saya harap mereka dapat menghargai akan sumbangannya. Kepada mereka yang belum, sila tampil ke hadapan untuk berjinak-jinak dengan ALUMNI SMKJ2 samada mejadi tangan yang menerima atau yang memberi, Insya Allah keikhlasan kalian sudah tentu akan menerima balasan dari Allah swt.
Tentunya masih banyak lagi yang boleh dan perlu dilakukan dan dipertingkatkan oleh persatuan ini, tetapi semua itu boleh dicapai hanya dengan sokongan dan sambutan yang padu oleh bukan sahaja AJK tetapi termasuk semua ahli yang ada samada berdaftar atau tidak. Bayangkan kalau semua 1000 pengikut facebook ini dan ahli keluarga mereka berkumpul dalam satu aktiviti kemasyarakatan, ianya sudah pasti bukan sahaja menjadi majlis sosial yang paling meriah yang pernah kita alami, malah, ianya boleh memberi kesan yang besar kepada masyarakat setempat amnya dan SMKJ2 khasnya.
Untuk terus menghidupkan dan memajukan persatuan in ke tahap yang seterusnya, saya ingin merayu agar
jawatan saya digantikan oleh ahli yang lain. Ini bertujuan untuk memberi paluang kepada ahli yang lebih berkaliber untuk menunjukkan dan mengembangkan bakatnya. Calon ini tidak semestinya dari kumpulan SPM’85 atau SPM’86 sahaja. Kepada yang berminat sila nyatakan hasrat anda kepada mana AJK yang terdekat. Bagi saya, ada baiknya saya menjadi ahli biasa atau setidaknya AJK biasa sahaja. Saya juga menyeru agar aktiviti yang diadakah dalam kumpulan-kumpulan yang kecil yang melibatkah
batch yang tertentu dapat dihebahkan kepada kumpulan yang lain agar ianya menjadi aktiviti besar di bawah naungan ALUMNI SMKJ2 yang boleh memberi kesan yang lebih mendalam kepada yang terlibat.
Dengan perubahan ini, saya boleh menumpukan perhatian saya kepada kerjaya saya. Perubahan ini amat penting bagi diri saya dan keluarga ekoran dari penghijrahan saya dari Kulim ke PJ, di mana segalanya (kerja, keluarga, persekitaran dan kehidupan) baru saja bermula dan memerlukan perhatian sepenuhnya. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang saya ada ini.
Persatuan ini memang berpotensi untuk pergi lagi jauh, disokong and didukung oleh insan-insan yang berkebolehan. Tentunya, ianya tidak boleh bergerak dengan sendirinya untuk merealisasikan potensi itu selain dari dengan izin Allah swt dan sokongan AJK and ahlinya. Sekali lagi saya menyeru kepada ahli-ahli yang
berminat untuk menerajui persatuan ini, sila perkenalkan diri anda dan hadir ke AGM yang bakal diadakan dalam masa yang terdekat. Sebaliknya,
sekiranya anda berpendapat yang persatuan ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada anda dan patut dibubarkan, AJK amat mengalu-alukan pendapat anda. Keputusan pungutan suara ini akan dibincangkan dalam AGM nanti. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk menyuarakan pendapat anda yang mana akan digunakan sebagai panduan untuk menentukan halatuju persatuan ini untuk kepentingan bersama.
Akhir kata, harap maaf sekiranya ada salah dan silap. Sekiranya ada yang mahu berbincang dengan lebih lanjut secara peribadi, sila hubungi saya dalam masa yang terdekat.
Sekian, wassalam.
Ishak Karim.
Pengerusi,
ALUMNI SMKJ2
Bandar Sunway Petaling Jaya, Selangor.
25/1/2012